ISU JURANG DALAM PENCAPAIAN MATEMATIK
Jurang,
menurut definisi Kamus Dewan Edisi Keempat merujuk kepada lembah yang dalam,
kehidupan yang susah dan perbezaan yang memisahkan sesuatu dengan sesuatu yang
lain. Manakala pencapaian pula merujuk kepada sesuatu yang dicapai dan sesuatu
yang telah berjaya dilaksanakan dengan usaha dan ketekunan.
Jenis Sekolah
Sistem pendidikan Malaysia
memperkenalkan pelbagai jenis sekolah demi memperkasakan kemajuan pendidikan
negara. Antara jenis sekolah yang wujud adalah Sekolah Kebangsaan, Sekolah
jenis Kebangsaan, Sekolah Agama, Sekolah Mubaligh, MARA, Sekolah Berasrama
Penuh, Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi, Kolej Vokasional, Sekolah
Seni, Sekolah Sukan, Sekolah Wawasan, Sekolah Amanah, Sekolah Bestari dan
Sekolah Berkeperluan Khas. Walaupun pelbagai jenis wujud, namun demikian,
sekolah-sekolah ini boleh dikelaskan mengikut pencapaian kepada skeolah
cemerlang, sekolah harian dan sekolah jenis kebangsaan. Sekolah berasrama
penuh, MRSM, sekolah bestari, sekolah berprestasi tinggi, sekolah sukan, dan
beberapa jenis sekolahyang lain boleh dikategorikan sebagai sekolah yang
sentiasa mendapat pencapaian yang cemerlang dari segi kurikulum dan
kokurikulum. Sekolah harian pula, sekolah bantuan kerajaan yang mempunyai
komposisi yang paling banyak dalam sistem Pendidikan Malaysia dan mempunyai
kecenderungan untuk terletal jauh di pedalaman dan luar bandar. Sekolah jenis
kabangsaan pula adalah sekolah jenis vernacular berasaskan kaum.
Walaupun PPPM (2012), telah
menyatakan bahawa jurang pencapaian diantara jenis sekolah, adalah semakin
berkurangan, namun demikian pihak kementerian tidak boleh memandang sebelah
mata perkara ini kerana setiap negeri
mempunyai sekolah yang terletak di kawasan pedalaman yang terlalu daif keadaan
sekolahnya terutamanya bagi negeri Sabah dan Sarawak. Dalam isu yang melibatkan
jenis sekolah ini, antara faktor-faktor utama yang dibincangkan oleh pelajar,
keluarga, sekolah dan kerajaan. Bagi faktor pelajar dan keluarga dibincangkan
dari segi keperluan dan juga motivasi pelajar itu sendiri. Keperluan pelajar
adalah lebih kepada keperluan asas sebagai contohnya nutrisi, pakaian, tempat
tinggal, dan juga infrastruktur. Pelajar sekolah harian mempunyai peluang yang
tinggi untuk menerima pelajar yang kurang berkemampuan dan boleh dikategorikan
sebagai miskin disebabkan oleh lokasi yang berada di luar bandar atau
pedalaman.
Kajian Sosioekonomi Rakyat
Termiskin (Mohd Zuri Ghani, et.al, 2010) mendapati tahap pendidikan keluarga
termiskin adalah lebih rendah berbanding keluarga bukan miskin. Oleh kerana kedudukan
yang terletak di kawasan pedalaman dan luar bandar, pencapaian pelajar sekolah
harian adalah lebih rendah kerana kebanyakkan pelajar mempunyai latar belakang
sosio-ekonomi yang rendah. Walaupun di kawasan bandar juga terdapat kemiskinan,
namun peluang untuk pelajar mendapat biasiswa dan bantuan persekolahan adalah
lebih cerah.
Menurut Che Mah & Mariani
(2001), faktor personaliti juga memainkan peranan yang agak penting dalam
mempengaruhi pencapaian akademik seseorang. Namun demikian, setiap pelajar
mempunyai personaliti yang berbeza (Mahmood, 2004). Perbezaan ini dipengaruhi
oleh beberapa faktor seperti jantina dan juga sekolah. Disebabkan oleh keadaan
persekitaran, pelajar di sekolah menengah harian kerap kali cenderung untuk
mempunyai personaliti yang rendah berbanding dengan sekolah cemerlang.
Berdasarkan kepada kajian yang
Mohd Zuri Ghani et.al (2010), mereka mendapati bahawa perbezaan jenis sekolah
memberikan perbezaan dalam personaliti kestabilan emosi pelajar. Bagi pelajar
sekolah cemerlang, kestabilan emosi adalah lebih tinggi disebabkan oleh
keyakinan yang tinggi. Ini mungkin disebabkan oleh prasarana pembelajaran
kondusif yang baik, latihan yang berorientasikan peperiksaan yang lebih kerap,
mempuunyai guru yang lebih berpengalaman, cemerlang dan adanya guru penggubal
soalan. Bagi jenis sekolah yang mempunyai prestasi yang agak rendah, keyakinan
pelajar terjejas disebabkan oleh kebimbangan prasaran yang kurang, guru yang
kurang berkesan dan terganggu dengan sikap rakan sebaya yang lain.
Jantina
Menurut kajian yang telah
dijalankan oleh Zalizan M. Jelas (2005), pencapaian pelajar perempuan bagi
subjek Sains dan Matematik dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM adalah jauh
lebih tinggi daripada pelajar lelaki dan keadaan ini berterusan pada pencapaian TIMSS 2003. Walaubagaimanapun, pencapaian
pelajar lelaki dalam subjek teknikal adalah lebih baik berbanding dengan
pelajar wanita. Perbincangan faktor berlakunya jurang pencapaian yang
disebabkan oleh jantina ini juga dihuraikan dari segi pelajar, keluarga dan
sekolah itu sendiri. Selain itu, pelajar perempuan lebih mengambil berat
tentang tugas, melakukan kerja dengan teratur dan mengikut jadual, serta
mengikut arahan dengan teliti berbandin pelajar lelaki.
Selain itu, pelajar perempuan juga
lebih berstrategik dalam pembelajaran mereka. Mohammad Amin (2000) menyatakan
bahawa pelajar perempuan lebih bersedia dan berfokus dalam menghadapi
pembelajaran di bilik darjah. Namun demikian, sesetengah kajian menunjukkan
bahawa pendominasian wanita dalam dunia pendidikan telah menyebabkan kurikulum
sekolah menjadi tidak seimbang dan menyeybabkan kaedah-kaedah pengajaran yang
digunakan adalah lebih menyebelahi pelajar lelaki berbanding pelajar wanita.
Sikap pelajar lelaki yang lebih tertumpu kepada masalah disiplin juga
merosakkan emsi dan motivasi mereka untuk belajar.
Dari segi faktor keluarga pula, pelajar perempuan lebih mendapat
galakan keluarga, sokongan moral dan material, dan lebih diharapkan oleh
keluarga untuk cemerlang dalam pendidikan berbanding pelajar lelaki. Kawalan
keluarga yang lebih atas pelajar perempuan memberikan ruang dan peluang yang
lebih kepada pelajar perempuan untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran.
(Zalizan M. Jelas, 2005). Bagi keadaan keluarga yang kurang berpendapatan pula,
remaja lelaki diharapkan untuk menyara kehidupan keluarga (PPPM, 2012). Keadaan
ini menyebabkan pelajar lelaki untuk tidak bermotivasi dalam melanjutkan
pelajaran dan meningkatkan pencapaian akademik mereka.
Sekolah
juga menyumbang kepada faktor berlakunya jurang pencapaian antara jantina. Oleh
kerana terlalu fokus kepada kaedah pembelajaran yang lebih berpihak kepada
pelajar wanita menyebabkan tibulnya ketidakserasian pelajar dengan guru dalam
pembelajaran. Sifat dan trait pembelajaran pelajar lelaki dan wanita adalah
berbeza. Jika seseorang guru tidak dapat memahami dengan jelas sifat pelajarnya
sendiri, akan menyebabkan proses embelajaran sentiasa terganggu dan menyebabkan
objektif pembelajaran tidak dapat tercapai. Keadaan semakin membimbangkan kerana
jumlah guru perempuan jauh melebihi guru
lelaki. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000).
Status
ekonomi
Keluarga
yang kurang berkemampuan mempunyai masalah untuk membeli peralatan dan bahan
pembelajaran seperti meja, kerusi, buku rujukan, membayar yuran sekolah,
tambang bas dan cermin mata. Terdapat juga ibu bapa yang mengharapkan anak-anak
mereka mencari pekerjaan untuk membantu mereka menampung keperluan keluarga.
Rumah yang selesa juga tidak dapat disediakan dan tidak sesuai untuk suasana pembelajaran
di rumah seperti ketiadaan bilik tidur, ruang tamu dan dapur yang berasingan.
Keluarga yang miskin tidak dapat menyediakan makanan yang seimbang kepada ahli
keluarganya dan ini boleh menyebabkan kekurangan zat makanan dan tubuh dan
seterusnya memberi kesan negative kepada minda, konsentrasi dan tahap
pembelajaran.
Keluarga
kaya mampu menyediakan semua perkara dalam kehidupan seperti rumah yang selesa
dengan bilik-bilik yang khusus, bahan pembejaran seperti buku rujukan,
komputer, akses internet serta pemakanan yang seimbang. Kebanyakkan keluarga
kaya dapat menghantar anak-anak merekaberskeolah di peringkat yang lebih tinggi
malah boleh mendapatkan pendidikan di luar negara. Perbezaan status ekonomi
jelas mempengaruhi tahapp pencapaian murid di sekolah di mana murid dari
keluarga yang berkemampuan dari segi ekonomi mempunyai tahap pencapaian yang
lebih baik berbanding murid dari keluarga miskin. (Mohamad J.S. et al, 2009).
|
Lebih tiga suku daripada semua
sekolah berprestasi tinggi mempunyai kurang sepertiga muridnya menerima bantuan
kewangan. Hal ini menunjukkan jurang pencapaian terbesar di Malaysia masih
dipacu oleh status sosioekonomi walaupun pelaburan signifikan dibuat kerajaan
sehinggan kini. Faktor sosioekonomi, dari segi komposisi populasi murid,
berkemungkinan turut menyumbang kepada banyak jurang pencapaian. Namun, impak
status sosioekonomi terhadap keberhasikan murid kurang signifikan di Malaysia
berbanding dengan sistem lain di dunia. Misalnya, hanya 10% daripada varians
antara sekolah Malaysia dalam pentaksiran PISA 2009 boleh diterangkan oleh
faktor sosioekonomi, berbanding dengan purata OECD 55% yang menunjukkan jurang
lebih besar di kebanyakkan negara lain. Perkara ini merupakan berita baik bagi
Malaysia yang menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara menuju ke arah
kesaksamaan. (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2013).
Bandar dan Luar Bandar
Semakin dekat keputusan
peperiksaan awam seperti UPSR, PMR atau SPM dikeluarkan, semakin berdebar-debar
hati pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan peperiksaan
itu seperti murid, ibu bapa, guru-guru dan juga pegawai di jabatan pendidikan.
Guru-guru yang mengajar juga mempunyai debaran seperti murid-murid yang
mendudukinya kerana melalui keputusan ini dapat menggambarkan serba sedikit
prestasi guru dan sekolah tersebut. Setelah keputusan diumumkan pihak
kementerian dan jabatan pendidikan pula sibuk dengan stastistik masing-masing
untuk dibentangkan dalam mesyuarat.
Daripada perbandingan prestasi
antara negeri bagi UPSR dan SPM tahun 2011, dapat kita lihat negeri yang
terbaik dalam setiap peperiksaan ialah Wilayah Persekutuan dan yang tercorot adalah
Sabah dengan perbezaan pencapaian sebanyak 33 peratus (Kementerian Pelajaran
Malaysia, 2013). Mengapa Sabah sentiasa berada pada kedudukan tercorot diikuti
oleh Sarawak dalam setiap peperiksaan? Adakah guru-guru di Sabah tidak
berkualiti? Adakah murid-muridnya memang mempunyai tahap kecerdasan yang rendah?
Kementerian Pendidikan Malaysia
(2013), dalam statistiknya menunjukkan bahawa bilangan sekolah rendah luar
bandar di Sabah adalah yang tertinggi iaitu 89.5 peratus daripada jumlah
sekolah di Sabah manakala Sarawak pula sebanyak 86 peratus. Bagi sekolah
menengah di Sabah, 71 peratus adalah sekolah luar bandar dan Sarawak sebanyak
64 peratus. Jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar sudah lama menjadi
perhatian dan tumpuan Kementerian Pendidikan dan usaha merapatkan jurang
pendidikan telah berkembang pesat dan mencapai banyak kemajuan sejak Rancangan
Malaysia ketiga. Walaubagaimanapun, tugas ini belum selesai dan akan terus
diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia kesembilan. (Kementerian Pelajaran
Malaysia, 2013).
Jurang kemudahan dan infrastruktur awam
Bandar, menurut Jabtan Perangkaan
Malaysia, Banci Penduduk dan Perumahan 2010 (Buletin Perangkaan KKLW, 2011),
didefinisikan sebagai “kawasan pembangunan khusus yang boleh dikenal pasti
kawasannya yang mana sekurang-kurangnya mempunyai penduduk 10, 000 orang dan
sekurang-kurangnya 60 peratus penduduknya berumur 15 tahun dan ke atas terlibat
dalam aktiviti bukan pertanian”. Daripada definisi ini, dapat kita melihat
penduduk di bandar kebanyakkannya mempunyai pekerjaan dalam sektor perniagaan,
perkhidmatan, perhotelan dan perindustrian yang semestinya jumlah pendapatan
yang tetap dan banyak jika dibandingkan dengan penduduk luar bandar yang lebih
bergantung kepada sektor pertanian. Kemudahan awam yang disediakan kerajaan di
bandar adalah lebih baik dan menyeluruh jika dibandingkan dengan luar bandar
seperti bekalan elektrik, air, telekomunikasi dan pengangkutan. Bagaimanakah
ketiadaan atau kekurangan kemudahan awam boleh mempengaruhi pencapaian murid
dalam pendidikan?
Di Sabah dan Sarawak masih banyak
lagi kawasan yang tidak mempunyai infrastruktur jalan raya yang baik, tiada
bekalan air, elektrik dan juga pengangkutan awam seperti bas. Rancangan
Malaysis kesepuluh masih menitikberatkan penyediaan dan naik taraf
infrastruktur asas di Sabah dan Sarawak (Jabatan Perdana Menteri, 2010).
Pengangkutan Awam (2013) mendefinisikan pengangkutan awam sebagai pengangkutan
umum dan biasanya diatur untuk menawarkan perkhidmatan berjadual dalam laluan
tetap tanpa penempahan. Pengangkutan di kawasan luar bandar di Sabah yang
mengangkut penduduk kampung ke pekan atau pusat pentadbiran adalah kenderaan
persendirian. Biasanya waktu operasi kenderaan ini bergantung kepada jarak
kampung dengan pekan dan kebiasaanya sehari sekali iaitu kenderaan ini bergerak
dari kampung pada awal pagi dan balik pada sebelah tengah hari.
Jurang perbezaan sekolah dan luar bandar
Kemudahan infrastruktur di sekolah
bandar adalah jauh lebih baik dan lengkap berbanding sekolah di luar bandar.
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2013), melalui Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP) telah menyediakan data-data yang menunjukkan kekurangan di
sekolah luar bandar dan menjadikannya fokus utama yang perlu diatasi dala PIPP.
CABARAN DAN PENYELESAIAN
Di
dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) menyatakan jurang antara tahap pencapaian murid merujuk kepada
kesulitan menguasai 3M, kegagalan mencapai standard minimum dan murid berisiko untuk cicir daripada sistem
pendidikan. Jurang antara tahap pencapaian murid ialah 3M iaitu membaca,
menulis dan mengira. Dalam situasi ini, kebanyakan murid sekolah rendah tidak
mampu menguasai 3M ini disebabkan oleh pelbagai faktor sama ada faktor dalaman
mahupun luaran. Selain itu, kegagalan mencapai standard minimum seperti yang
dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merupakan, salah satu
faktornya. Keadaan ini akan menyebabkan seseorang murid itu berisiko tinggi
tercicir daripada sistem pendidikan.
Situasi ini sangat membimbangkan
banyak pihak bermula dari ibu bapa sehingga ke peringkat negara dan global.
Asas 3M ini merupakan kemahiran yang perlu dikuasai oleh anak-anak semasa
berada di tahap satu persekolahan iaiatu darjah 1 hingga 3. Jika di tahap satu
masih belum menguasai 3M ini maka anak-anak tidak boleh menguasai subjek lain
seperti matematik dan sains. Masalah ini akan menjadi leboh serius apabila
anak-anak ini berada di tahap dua iaitu darjah 4 hingga 6.
Apakah faktor atau punca masalah
penguasaan 3M ini? Adakah guru, keluarga, persekitaran ataupun pihak pengurusan
sekolah? Yang pasti guru dan keluarga tidak terlepas daripada tanggungjawab
penguasaan asas 3M anak-anak ini. Punca utama masalah ini bermula di rumah
iaitu keluarga atau lebih tepat lagi ibu bapa. Ibu bapa bertanggungjawab penuh
kepada anak sehingga anak-anak ini mampu berdikari. Ibu bapa yang sepatutnya
memberikan intervensi awal kepada anak-anak ini. Ibu bapa perlu memberikan
pendedahan awal seperti memperkenalkan abjad, suku kata atau asas nombor
sebelum menghantar anak ke sekolah.
Berdasarkan pandangan Dekan
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya , Prof Dr. Saedah Siraj, mengenai
keperluan kaedah pengajaran dan pempelajaran berbeza bagi mengatasi masalah
penguasaan kemahiran 3M di kalangan murid sekolah seperti disampaikan kepada
wartawan pendidikan Berita Harian, menyatakan bahawa dalam usaha menangani
masalah ini, kaedah pengajaran dan pembelajaran haruslah lebih khusus dan perlu
dipratikkan guru yang mahir mengenainya. Selain guru dan murid, keberkesanan
program pemulihan ini memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk sekolah dan
ibu bapa. Apa yang penting, pelaksanaan tindakan progresif menangani masalah
penguasaan 3M di kalangan murid ini sepatutnya sejak awal lagi, bukan pada peringkat
mereka sudah terlalu jauh tercicir.
Sebelum melihat kepada masalah-masalah
lain, pelajar haruslah mempunyai kesedaran dalam meningkatkan kemajuan dan
pencapaian mereka sendiri. Mereka harus meningkatkan keyakinan diri dengan
berusaha untuk mendapatkan pelajaran-pelajaran baru melalui perbincangan di
dalam kelas. Selain itu, mereka juga perlu menghargai usaha-usaha yang telah
diambil oleh sekolah dan kerajaan untuk membantu mereka dengan menggunakan
semua kemudahan yang diberikan secara optimum.
Bagi ibu bapa sendiri, mereka
haruslah memberikan layanan yang saksama kepada setiap anak-anak mereka. Ibu
bapa seharusnya sedar bahawa pendidikan merupakan satu batu loncatan untuk
anak-anak mereka memperbaiki keadaan diri mereka agar tidak tersepit dengan
keadaan sosioekonomi keluarganya yang sempit sehingga akhir hayat mereka.
Layanan sama rata terhadap anak lelaki dan anak perempuan juga haruslah sama
rata agar tidak berlaku kecelaruan emosi dan tingkah laku anak-anak mereka.
Bagi sekolah pula, mereka haruslah
menyokong dasar yang telah dijalankan oleh kementerian. Selain itu, barisan
pimpinan dan pentadbiran sekolah haruslah berusaha untuk mencapai persetujuan
yang terbaik dalam segala hal agar dapat memberikan keyakinan terhadap
guru-guru bawahan untuk meneruskan usaha mereka dalam sama-sama meningkatkan
jurang pencapaian pelajar. Pembahagian kerja atau tugas yang adil juga perlu
bagi setiap guru agar tidak berlaku ketidakpuasan di antara guru.
Kerajaan merupakan tonggak utama
yang diperlukan dalam meningkatkan pencapaian pelajar seterusnya mengurangkan
jurang pencapaian pelajar yang disebabkan oleh jenis sekolah dan jantina.
Antara inisiatif yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah dengan
memperkenalkan pelbagai bantuan seperti rancangan makanan tambahan, skim baucer
tuisyen, skim pinjaman buku teks, Program Susu Sekolah, asrama harian dan
sebagainya untuk membantu memperbaiki keperluan asas pelajar. Dengan pemberian
pelbagai bantuan yang mampu meringankan beban keluarga akan membolehkan pelajar
untuk mendapatkan keyakinan yang baik untuk mereka menumpukan usaha dalam
memperbaiki tahap pencapaian mereka.
Selain daripada itu, pelaksanaan
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan dijalankan secara tiga
gelombang dari segi gelombang satu (2013-2015): mengubah sistem dengan memberi
sokongan kepada guru dan memberi fokus kepada kemahiran utama dan keberhasilan
utama yang akan dilihat pada gelombang satu ini adalah pengurangan 25% jurang
bandar dan luar bandar. Seterusnya gelombang dua (2016-2020): kerajaan akan
menumpukan kepada memacu peningkatan sistem dan keberhasilan utama yang akan
dicapai adalah 50% pengurangan jurang bandar atau luar bandar, 25% pengurangan
jurang sosio ekonomi dan jantina. Pelaksanaan gelombang tiga (2021-2025) pula
adalah dengan memberikan tumpuan pada menganjak ke arah kecemerlangan melalui
peningkatan tadbir-urus kendiri dengan tujuan keberhasilan utama pada akhir
pelaksanaan adalah mengekalkan atau mengurangkan jurang bandar dan luar bandar,
serta 50% pengurangan jurang sosio ekonomi dan jantina.
LANGKAH KE HADAPAN
Sebagai guru Matematik, kita
sentiasa mendengar rungutan murid-murid tentang kesukaran mereka untuk membaca
dan memahami kandungan buku teks Matematik, kesukaran mereka dalam
menyelesaikan masalah akibat kurangnya kemahiran membaca. Selalunya, seseorang
murid Matematik mengharapkan guru untuk menjelaskan apa yang dipelajari dalam
buku. Matematik merupakan sesuatu bahasa yang tidak boleh dibaca atau difahami
tanpa usaha.
Di
dalam situasi dimana kemahiran mengadaptasi yang kerap diperlukan, secara
umumnya, guru perlulah memberi input yang lebih daripada mengajar sahaja.
Mereka bertanggungjawab dalam mengajar murid-murid tentang proses-proses
pemikiran dan pembelajaran supaya murid-murid dapat menguasai kemahiran kendiri
dan tidak selalu bergantung kepada guru semata-mata.
Guru-guru ialah badan penggerak
sesuatu dasar dan merupakan pihak yang penting dalam merapatkan jurang
pencapaian matematik di kalangan pelajar. Pendekatan dan cara mengajar
seseorang guru sangat memberi kesan kepada pencapaian matematik seseorang
pelajar. Guru hendaklah kreatif dalam mengajar bagi memastikan ilmu dan
informasi tentang sesuatu dapat disampaikan dengan berkesan. Selain itu,
persediaan guru dalam sesi pengajaran juga merupakan suatu aspek yang penting.
Guru yang bersedia untuk menghadapi sesi pengajaran dipercayai mempunyai
semangat yang lebih tinggiuntuk mengajar. Guru yang bersemangat dalam kelas
akan merangsang semangat pelajar untuk belajar sekaligus dapat meningkatkan
pencapaian para pelajar. “Mindset” pada guru hendaklah dipastikan untuk memberi
kejayaan kepada pelajar-pelajar. Oleh itu, usaha-usaha hendaklah ditingkatkan
terutamanya kepada pelajar yang mempunyai pencapaian yang rendah.
Segala maklumat yang diperolehi
dari kursus yang dihadiri para guru perlulah dipratikkan dalam kelas. Sebagai
contoh, penggunaan ICT mampu menarik minat pelajar kerana animasi dan
slaid-slaid pembentangan yang menarik. Jadi, penggunaan ICT ini hendaklah dikerapkan
agar minat pelajar untuk memahami sesuatu topik itu dapat ditingkatkan.
Penggunaan ICT ini diakui mengambil masa yang lama dan akan menyebabkan
guru-guru kesuntukan masa dalam menghabiskan sukatan. Oleh itu, guru-guru
hendaklah bijak dalam menyeimbangkan penggunaan ini seperti menarik minat
pelajar dengan menggunakan animasi pada permulaan topik dan menyambung
pengajaran yang seterusnya dengan kaedah biasa.
Guru perlu mengambil inisiatif
dengan menggunakan pelbagai teknik dan kaedah dalam mengajar Matematik dengan
berkesan bagi mengurangkan jurang dalam pencapaian matematik. Kaedah-kaedah
seperti pembelajaran koperatif, pengajaran secara kolaboratif, pengintegrasian
teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, pendekatan konstruktivisme, kaedah
penyelesaian masalah, metakognisi dan pemahaman konsep dalam matematik.
Pedagogi pembelajaran
abad ke-21 pula mengutamakan pemikiran aras tinggi oleh murid yang lebih
mengutamakan pemikiran kritis dan kreatif, pengintegrasian i-Think dalam proses
pembelajaran, strategi pembelajaran seperti inkuiri penemuan, projek,
penyelesaian masalah, kerja lapangan, eksperimen, simulasi, main peranan,
aktiviti hands- on dan sebagainya. Aktiviti pembelajaran pula mestilah
sentiasa relevan dengan arus perkembangan terkini, melibatkan penginegrasian
kecerdasan pelbagai, terdapat penghubungkaitan dengan kehidupan seharian dan
juga penggunaan sumber atau teknologi yang terkini. Jadi, guru perlulah
berusaha dalam menggunakan kaedah pembelajaran abad ke-21 dalam pengajaran.
No comments:
Post a Comment